KUALA LUMPUR: Seramai 24 orang maut akibat banjir yang berlaku di sekitar Selangor sejak 18 Dis lalu sehingga semalam.

Setakat jam 8 malam tadi, terdapat 22,875 mangsa banjir daripada 5,156 keluarga ditempatkan di 125 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lapan daerah meliputi 18 mukim di negeri tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata demikian dalam satu kenyataan kemas kini perkembangan banjir di Selangor hari ini.

"Malam tadi saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Bencana Selangor pertama bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta beberapa agensi berkaitan.

"Mesyuarat ini susulan hasil beberapa sinergi dan gerak kerja yang telah digerakkan oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri seawal 18 Dis yang lepas untuk meneliti aspek pengukuhan dan penambahbaikan gerak kerja yang telah dilaksanakan sebermula hari pertama bencana banjir melanda Negeri Selangor.

"Alhamdulillah, gerak kerja rapat dengan ketumbukan 3,326 anggota termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan terus berusaha dalam operasi mengurus termasuk Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa banjir," katanya.

Bencana Banjir | Angka korban di Selangor meningkat 24 orang

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Ketua Pembangkang Datuk Rizam Ismail turut mendapat jemputan dan hadir untuk berkongsi buah fikiran dalam memudahcara pengurusan banjir bagi membantu seluruh rakyat Selangor.

Jelasnya, mesyuarat itu akan dijalankan secara berkala sekurang-kurangya dua kali seminggu mulai minggu ini.

"Dalam perkembangan lain, sebanyak 2,064 tan metrik sampah telah diangkut oleh KDEB Waste yang melibatkan 487 tong roll-on roll-off (RORO), 29 backhoe dan 1,274 pekerja bagi operasi pembersihan di lapan daerah yang terjejas banjir, setakat jam 9 malam tadi.

"Saya turut mengingatkan kepada semua anggota serta agensi yang hadir tentang kepentingan kebersamaan dan koordinasi serta pematuhan chain of command agar bantuan, terutamanya makanan, peralatan asas serta ubatubatan dapat disampaikan secara optimum kepada lokaliti yang memerlukan," ujarnya.