KEMAMAN:Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk, menyaksikan 4,094 orang mangsa terjejas setakat jam 7 pagi ini, berbanding 1,139 mangsa pada Jumaat.

Susulan itu, 33 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan 996 keluarga dari daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.

Daerah Hulu Terengganu dan Setiu menjadi lokasi terbaharu yang dilanda banjir dan kesemua mangsa mula dipindahkan pada malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A.
Rahman berkata peningkatan jumlah mangsa lebih dua kali ganda itu susulan hujan lebat yang masih melanda, khususnya di kawasan pedalaman, selain fenomena air pasang besar.

Implikasi itu menyebabkan aliran sungai tidak dapat mengalir dengan sempurna dan mengakibatkan limpahan air dari sungai-sungai utama, sekali gus menyebabkan paras air sungai meningkat.

Setakat jam 7 pagi ini, Kemaman menjadi daerah terburuk yang terjejas, melibatkan 3,689 mangsa.

Menurut Che Adam, 867 keluarga dipindahkan ke 25 buah PPS yang diaktifkan secara berperingkat bermula semalam.

Manakala di Dungun, seramai 182 mangsa melibatkan 57 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat PPS selepas kediaman mereka dinaiki air.

Ini diikuti di Hulu Terengganu, di mana seramai 212 mangsa terjejas dan tiga PPS dibuka bagi menempatkan 71 keluarga.

Sementara itu, di Setiu dua mangsa dari satu keluarga dipindahkan ke PPS Balai Raya Lama Kampung Bukit Nenas.