Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 506 orang daripada 126 keluarga setakat pukul 10 pagi ini, berbanding 473 orang malam tadi.

Menurut Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di lima daerah terkesan iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Setiu dan Marang.

Daerah Kuala Nerus mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 233 orang daripada 56 keluarga di tujuh PPS.

Ia diikuti daerah Dungun dengan 132 mangsa dan Marang dengan 100 mangsa.

Setakat jam 10 pagi, beberapa kawasan masih mengalami hujan dan cuaca mendung turut dilaporkan.

Semalam, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memberi amaran cuaca buruk di beberapa kawasan di Pantai Timur melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan hujan lebat secara berterusan sehingga 27 November.

Keseluruhan negeri Terengganu berada dalam kategori amaran cuaca buruk.

 
Sumber Facebook malaysiamet