Ringkasan AI
- Lapan kawasan di Malaysia mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 4 petang ini.
- Dua stesen di Kuala Lumpur, Batu Muda dan Cheras, merekodkan bacaan IPU 99, hampir ke kategori tidak sihat.
- Orang ramai dinasihatkan kurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka, terutama golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas.
KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di beberapa negeri kekal membimbangkan apabila lapan kawasan terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam kategori tidak sihat setakat jam 4 petang ini, manakala dua stesen di Kuala Lumpur semakin menghampiri ambang kategori tersebut.
Dua stesen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu Batu Muda dan Cheras masing-masing mencatat bacaan IPU 99, hanya satu mata di bawah ambang kategori tidak sihat.
Berdasarkan data terkini Jabatan Alam Sekitar (JAS), Segamat, Johor kekal merekodkan bacaan IPU tertinggi negara iaitu 156, diikuti Batu Pahat (155) dan Kluang (152).
Sementara itu, dua kawasan di Negeri Sembilan terus mencatat bacaan membimbangkan apabila Nilai merekodkan IPU 151, manakala Seremban menurun kepada 146 berbanding 151 pada jam 3 petang tadi.
Turut berada dalam kategori tidak sihat ialah Tangkak, Johor (151), Samarahan, Sarawak (117) dan Larkin, Johor (111).
Secara keseluruhan, 57 stesen mencatatkan bacaan IPU sederhana petang ini.
Selain Kuala Lumpur, beberapa kawasan lain yang menghampiri kategori tidak sihat ialah Sri Aman, Sarawak (98), Rompin, Pahang (97), serta Bukit Rambai, Melaka, Pasir Gudang, Johor dan Johan Setia, Selangor yang masing-masing mencatat bacaan 96.
Dalam kategori baik, hanya tiga stesen merekodkan bacaan IPU di bawah 50, didahului Langkawi, Kedah dengan bacaan 33, diikuti Kangar, Perlis (36) dan Sandakan, Sabah (45).
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 diklasifikasikan sebagai berbahaya.
Orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas serta individu yang menghidap asma atau penyakit pernafasan kronik, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka jika perlu berada di kawasan terjejas bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemar udara.