TANJUNG MALIM: Tujuh kawasan di daerah Muallim terjejas selepas dinaiki air ekoran hujan berterusan sejak Jumaat.

Ketujuh-tujuh kawasan itu ialah Kampung Kuala Slim, Kampung Balun, Pekan Behrang Stesen, Jalan Behrang - Selisek, Jalan Sg Lembing, Kampung Rasau dan KM 89 Jalan Persekutuan Ipoh Kuala Lumpur (arah utara).

Bagaimanapun, setakat ini tiada mangsa banjir dan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah mengatur gerak seramai 54 orang pegawai dan anggota untuk membuat rondaan dan pemantauan di kawasan banjir.

“Pemantauan ini dibantu oleh agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.



Beliau berkata, pihak polis dan lain-lain agensi keselamatan dalam daerah Muallim sentiasa dalam keadaan bersiapsiaga dan membuat pemantauan serta rondaan di kawasan yang terjejas dengan bencana ini.

Dalam masa sama, Sulizmie Affendy memberi jaminan keadaan banjir di daerah ini dalam keadaan terkawal dan meminta orang awam supaya tidak panik selain mengutamakan keselamatan diri.

“Orang awam diingatkan supaya lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan semasa sekiranya berlaku hujan lebih lebat dan sentiasa mengikut nasihat pegawai berkuasa,” ujarnya.

Menurutnya, polis daerah Muallim juga akan meningkatkan rondaan dan kawalan di kawasan yang terlibat banjir untuk memastikan tiada kecurian atau kemalangan jiwa berlaku.