MALAYSIA
Bapa didakwa bunuh anak lelaki umur enam tahun

Seorang bapa didakwa di Mahkamah Majistret Jelebu, hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya berusia enam tahun di tepi jalan Kilometer 25 Jalan Rompin, Bahau, bulan lepas. - Gambar hiasan
JELEBU: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya berusia enam tahun di tepi jalan Kilometer 25 Jalan Rompin, Bahau, bulan lepas.
M. Arunkumar, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut yang bekerja sebagai pemandu e-hailing membunuh kanak-kanak itu antara 9.02 pagi hingga 12.55 tengah hari di tepi jalan Kilometer 25 Jalan Rompin, Bahau pada 23 Julai lepas.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan dikenakan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi memohon satu tarikh bagi laporan bedah siasat, kimia, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).
Mahkamah menetapkan 10 Sept depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Seremban.
Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu membuat laporan polis pada 24 Julai lepas mendakwa anaknya hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor.
Lelaki terbabit pada awalnya mendakwa kanak-kanak itu hilang kira-kira 4 petang, pada 23 Julai ketika ditinggalkan berseorangan di dalam kereta semasa suspek keluar membeli makanan.
Mayat kanak-kanak itu kemudian dijumpai ditanam di kawasan Rompin, Jempol, kira-kira 4.30 petang, 28 Julai lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami