Skip to main content

Malaysia

Bapa hargai tindakan dua anggota MPV bantu iring anak ke hospital dalam kesesakan

[TB]_PDRM Pulau Pinang_PDRM Pulau Pinang
Lim berkata, Sivaraj dan Jerico diberikan surat pujian sebagai pengiktirafan terhadap tindakan mereka yang membantu orang awam dalam situasi kecemasan yang wajar dijadikan contoh kepada seluruh warga PDRM. - Gambar PDRM Pulau Pinang
Advertisement

GEORGE TOWN: Tindakan pantas anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Pulau Pinang mengiringi kereta dinaiki seorang bapa bersama anaknya yang dalam kecemasan ke hospital ketika kesesakan lalu lintas di sini Khamis lepas menerima penghargaan daripada keluarga berkenaan.

Muhamad Fitrizuhaili Md Haris, 35, berkata dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu, beliau dalam perjalanan membawa Muhamad Faaeq, 9, ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas anak sulungnya itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri di rumah mereka di Teluk Kumbar.

Bapa dua anak itu berkata dalam situasi cemas itu, beliau hanya mahu segera tiba di hospital untuk rawatan anaknya tetapi lalu lintas sesak teruk telah mendorongnya mendapatkan bantuan daripada anggota MPV sebaik melihat mereka di laluan bawah Udini, Jalan Masjid Negeri.

Lebih menyentuh hati, katanya, pertolongan yang dihulurkan Koperal R. Sivaraj, 38, dan Konstabel Jerico Jaitin, 27, bukan setakat mengiringi ke HPP, bahkan dua anggota MPV tersebut turut mengambil kerusi roda serta membawa anaknya ke dalam unit kecemasan bagi memastikan rawatan awal diberikan.

"Saya sebagai bapa memang tidak akan lupakan jasa Koperal Sivaraj dan Konstabel Jerico. Saya tidak dapat bayangkan keadaan Faaeq jika mereka tidak membantu ketika itu," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian surat pujian oleh Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim kepada dua anggota MPV berkenaan hari ini.

Muhamad Fitrizuhaili yang bertugas di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata beliau juga amat menghargai kata-kata semangat Sivaraj dan Jerico bagi menenangkannya ketika situasi cemas serta tidak menentu itu, apatah lagi isterinya ketika kejadian sedang menemani anak kedua mereka, Muhamad Akif Fahmi, 6, yang turut dimasukkan ke HPP kerana jangkitan virus.

"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada anggota MPV berkenaan, pertolongan yang diberikan membolehkan kami cepat sampai ke hospital. Sepanjang detik mencemaskan itu, dua anggota tersebut bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab sebagai polis malah turut berada di sisi kami membantu apa yang termampu,” katanya dan memaklumkan Faaeq masih menerima rawatan di HPP akibat jangkitan kuman.

Sivaraj yang telah berkhidmat selama 14 tahun sebagai anggota polis ketika ditemui berkata dalam keadaan kesesakan lalu lintas itu, beliau dan Jerico hanya memikirkan untuk membantu Muhamad Fitrizuhaili dan anaknya supaya segera sampai ke HPP memandangkan Muhamad Faaeq dalam keadaan lemah.

Sementara itu, Lim berkata Sivaraj dan Jerico diberikan surat pujian sebagai pengiktirafan terhadap tindakan mereka yang membantu orang awam dalam situasi kecemasan yang wajar dijadikan contoh kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mereka berdua telah melakukan perkara terpuji dan kita menghargai usaha serta tindakan pantas anggota terbabit," katanya dan memaklumkan penghargaan yang dizahirkan orang awam terhadap anggota polis juga menjadi suntikan semangat kepada warga PDRM untuk terus memberikan khidmat terbaik.

Tindakan terpuji Sivaraj dan Jerico itu turut tular di media sosial dan mendapat penghargaan ramai yang menyifatkan bantuan berkenaan amat bermakna ketika kecemasan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement