Seorang bapa tergamak menyimbah air panas ke tubuh anak perempuannya selepas kanak-kanak berusia lapan tahun itu dikatakan mencuri wang ibunya berjumlah RM10.

Kejadian berlaku di rumah mereka di Flat Kampung Melayu, Air Itam, di sini pada malam Khamis lalu.

Akibat perbuatan itu, kanak-kanak perempuan berkenaan mengalami luka melecur sebanyak tiga peratus pada bawah lengan kanan, dirusuk kanan dan di sisi dada kanan.

Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang dalam kenyataan memaklumkan, pihak polis menerima laporan polis mengenai kejadian berkenaan pada Jumaat lalu.

Ujarnya mangsa merupakan anak kedua daripada empat adik beradik disimbah air panas oleh bapanya yang marah dengan perbuatan anaknya itu.

Hasil siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa dikatakan selalu mengabaikan mangsa dan adik beradiknya yang lain.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri memaklumkan kanak- kanak itu kini berada dalam pengawasan mereka. - Foto Astro AWANI
Katanya, mangsa dan adik beradiknya sering dilihat berkeliaran di kawasan kediaman tanpa pengawasan orang dewasa.

Che Zaimani berkata suspek disyaki telah melarikan diri bersama isterinya, manakala pemeriksaan polis di rumah suspek dan di tempat kerja mendapati kedua- duanya menghilangkan diri.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri memaklumkan kanak- kanak itu kini berada dalam pengawasan mereka.

Jurucakap jabatan itu berkata, pihaknya sudah bertemu kanak-kanak itu yang kini sedang dirawat di HPP dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menurutnya, kes kanak-kanak itu sedang dalam perhatian JKM dan pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut bidang kuasa jabatan.

Dalam pada itu, wakil JKM memaklumkan pihaknya turut mengunjungi rumah keluarga mangsa bagi mendapatkan gambaran dan situasi sebenar keadaan keluarga berkenaan.