Seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kemalangan bas pekerja yang mengorbankan 12 nyawa berhampiran Kompleks MASkargo di Sepang Ahad lepas mendakwa bas berkenaan berlumba ketika kemalangan berlaku.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ACP Zulkifli Adamshah berkata, polis akan meminta keterangan lanjut daripada mangsa berkenaan berhubung dakwaan itu.

Perkara itu didedahkan beliau ketika mengumumkan laporan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengenai kemalangan itu yang diterima beliau semalam (Jumaat).

Beliau berkata, polis kini menunggu laporan ujian darah pemandu bas bagi memastikan sama ada dia memandu di bawah pengaruh dadah atau sebagainya.

BACA: JPJ, Miros siasat syarikat bas terlibat kemalangan di Sepang

Katanya, menurut laporan Puspakom bas tersebut yang terjunam ke dalam longkang semasa kemalangan, berada dalam keadaan baik.

"Bas pekerja itu berada dalam keadaan baik dan sempurna. Tidak ada masalah teknikal seperti brek dan sebagainya. Jumlah penumpang yang dibawa adalah mengikut kapasiti yang ditetapkan iaitu seramai 44 orang termasuk pemandu.

"Bedah siasat ke atas semua mangsa mendapati mereka maut akibat hentakan yang kuat di dada," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 21 penerima terdiri daripada anak yatim, anak istimewa dan balu-balu kepada mereka yang pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA sempena Hari Polis yang ke-212 di sini hari ini.

BACA: Orang bertindih-tindih dalam bas - Mangsa

Dalam kejadian kira-kira 11.10 malam Ahad itu, seorang pemandu bas warga tempatan dan lapan pekerja warga asing mati di tempat kejadian apabila bas yang membawa 44 orang termasuk pemandu terjunam ke dalam longkang besar sedalam empat meter berhampiran Kompleks MASkargo.

Dua lagi pekerja warga asing meninggal dunia di Hospital Putrajaya dan seorang lagi di Hospital Serdang.

BACA: Tiada kesan brek di lokasi kemalangan bas pekerja - Polis

Pekerja-pekerja yang terlibat dalam kemalangan itu bernaung di bawah syarikat pembekal tenaga kerja, Mutiara Kayamas Sdn Bhd.

Zulkifli berkata, kesemua 12 mayat mangsa kemalangan itu sudah dituntut oleh keluarga, majikan dan kedutaan masing-masing dan dihantar pulang ke negara asal.

Sebanyak 11 mangsa lagi masih dirawat di hospital dan 20 mangsa kemalangan yang terselamat sudah memberikan keterangan kepada polis.

-- BERNAMA