Tidak berhati perut!

Itu lah yang boleh digambarkan apabila mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui di dalam kolam terbiar di Kampung Binsuluk, Membakut, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Azmir Abdul Razak berkata pihak polis menerima laporan daripada pengadu dalam jam 1.05 petang itu sebelum bergegas ke lokasi penemuan mayat bayi tersebut.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu telah reput dan berbau.

"Kejadian tersebut berlaku di dalam kawasan rumah saksi yang bernama Ag Madun Estor yang mana kawasan tersebut merupakan kawasan terbiar yang ditumbuhi lalang. Tempat kejadian juga merupakan kawasan sunyi yang terletak di laluan jalan mati menuju ke rumah mangsa.

"Mayat bayi itu telah di rujuk di Hospital Kuala Penyu untuk pemeriksaan doktor. Pihak polis juga telah merakam keterangan saksi dan memaklumkan kepada pihak Hospital untuk pengesahan kematian,"k atanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Azmir, siasatan lanjut akan dibuat untuk mengesan suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Mayat bayi malang tersebut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu dan bedah siasat akan dibuat pada Isnin ini.