KUALA TERENGGANU: Seorang bayi lelaki berusia setahun lima bulan maut dipercayai didera rakan lelaki ibunya dalam kejadian di sekitar daerah Besut, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata siasatan awal mendapati bayi berkenaan telah diserahkan ibunya yang berusia 27 tahun kepada suspek pada Selasa lepas untuk dijaga pada kira-kira 4 petang.

"Mangsa kemudian dihantar semula kepada ibunya pada 7.30 pagi semalam bagaimanapun dalam keadaan tidak sedarkan diri selain mempunyai kesan lebam di beberapa anggota badan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozal berkata bayi tersebut telah disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kampung Raja, Besut dan hasil bedah siasat awal di Hospital Sultanah Nur Zahirah mendapati terdapat kebocoran pada usus kecil mangsa yang dipercayai menyebabkan kematian bayi malang itu.

Bagaimanapun, beliau berkata punca kebocoran itu masih belum dikenal pasti sama ada ia disebabkan oleh trauma atau jangkitan kuman dan sampel telah dihantar ke makmal bagi tujuan pengesahan.

Bayi maut disyaki didera rakan lelaki ibu

"Sehubungan itu, polis telah menahan ibu mangsa yang merupakan ibu tunggal bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan akan direman hari ini. Polis kini sedang memburu suspek lelaki berkenaan yang masih bebas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau keberadaan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Faiz Che Mamat di talian 014-6329916 atau ibu pejabat polis daerah Besut di talian 09-6956222," katanya.

-- BERNAMA