Skip to main content

Malaysia

Bayi perempuan ditinggalkan di masjid

BESUT - Jemaah dan penduduk Masjid Al-Jamhuriah, Kuala Besut di sini digemparkan dengan penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan dalam beg kain di pekarangan masjid tersebut pada Selasa._Sinar Harian
Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam dan masih bertali pusat ketika ditemukan. -Foto Sinar Harian
Advertisement

JERTIH: Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan selamat selepas ditinggalkan di perkarangan Masjid Al-Jamhuriah, Kuala Besut, awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Rozaime Ab Rahim berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu daripada orang awam pada 5.25 pagi sebelum sepasukan pegawai polis bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut. 

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati bayi perempuan itu ditemukan dibungkus dengan sehelai kain.

"Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam dan masih bertali pusat ketika ditemukan.

"Bayi itu berada dalam keadaan sihat sebelum dibawa ke Hospital Daerah Besut oleh pihak kesihatan bagi menjalani pemeriksaan lanjut dan pemantauan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rozaime berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang atau meninggalkan bayi.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6959999 atau mana-mana balai polis berhampiran. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement