Beberapa suspek dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan kejam seorang lelaki di stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru yang viral Disember tahun lepas, dikesan telah melarikan diri ke Thailand dan bersembunyi di negara jiran itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, usaha sedang dilakukan untuk mengesan dan menangkap kesemua mereka menerusi bantuan Polis Diraja Thailand (RTP).

"Kami percaya beberapa orang daripada mereka melarikan diri ke sini. Kita sudah mendapat rekod kemasukan mereka (ke Thailand) dan seorang daripada yang diburu itu adalah suspek utama (kes berkenaan)," katanya kepada Bernama dalam temuramah di sini pada Rabu.

Pihak Bukit Aman, menurutnya, berkeyakinan kesemua suspek yang melarikan diri ke Thailand itu akan berjaya dijejaki dan seterusnya ditangkap serta dibawa balik ke Malaysia untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

"Hanya tunggu masa sahaja (penangkapan suspek yang melarikan diri ke Thailand)," katanya dan menambah, selain rekod kemasukan ke Thailand, pihak Bukit Aman juga mempunyai foto serta pelbagai maklumat dan dokumen mereka.

Ini ditambah pula reaksi balas yang amat positif daripada pihak RTP terhadap permintaan bantuan daripada Bukit Aman untuk memburu dan menangkap kesemua suspek yang kini bersembunyi di Thailand itu.

"Mereka (RTP) amat positif terhadap permintaan kita. Saya berkeyakinan," kata Wan Ahmad Najmuddin, dan menambah, timbalannya serta pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia di Thailand akan mengkoordinasi usaha mengesan dan menangkap kesemua suspek itu di Thailand.

Dalam kejadian yang berlaku pada 17 Dis tahun lepas, seorang lelaki berusia 44 tahun ditikam dan dilanggar oleh sebuah kereta mewah BMW berwarna putih dalam kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di bandar raya itu.

Kejadian pembunuhan kejam itu turut dirakam oleh pelanggan stesen minyak itu dan menjadi viral di laman-laman sosial.

BACA: 'Pembunuh BMW': Nombor plat kereta palsu, 4 suspek diburu

BACA: Kes tikam, langgar: 13 individu ditahan setakat ini

Polis menahan 14 orang untuk siasatan, dengan 11 daripada mereka telah pun dibebaskan manakala seorang yang masih ditahan polis merupakan suspek utama kes pembunuhan yang menggemparkan seluruh negara itu.

Menurut Wan Ahmad Najmuddin, polis percaya kes tersebut telah pun berjaya diselesaikan kerana pihaknya mempunyai segala bukti untuk mendakwa di mahkamah seorang daripada suspek yang masih ditahan.

Suspek yang masih ditahan reman itu dipercayai merupakan individu yang bertanggungjawab menikam mangsa, katanya.

BACA: Kes tikam, langgar: Suspek umur 22 tahun disambung reman

BACA: Kes tikam, gilis: Polis jumpa BMW putih


Beliau berkata, hasil siasatan polis menunjukkan kejadian pembunuhan itu telah dirancang dengan teliti dengan terdapat individu dalam kumpulan itu yang ditugaskan untuk mengekori dan membocorkan tayar kereta mangsa di stesen minyak itu.

Kejadian pembunuhan kejam itu katanya, berpunca daripada perbalahan berkenaan baki hutang mangsa sebanyak RM50,000 dan bukan akibat pergaduhan berkenaan perebutan kawasan antara dua kumpulan samseng sebagaimana diperkatakan sebelum ini.

"Ia bukan 'gang war'," menurut beliau.

-- BERNAMA