KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia akibat sakit buah pinggang pada usia 85 tahun awal pagi Sabtu.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Kapten Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif menerusi platform WhatsApp awal pagi ini.

Allahyarham difahamkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.15 pagi tadi.

Kata beliau, jenazah Allahyarham kini berada di kediamannya di Seksyen 13, Shah Alam sehingga jam 10 pagi untuk urusan ziarah.

Jenazah dijangka dibawa ke Masjid Al-Ikhlas, Shah Alam untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.

Selepas itu jenazah Mohammed Hanif akan dikebumikan di Makam Pahlawan selepas disolatkan di Masjid Negara.

Mohammed Hanif yang lahir pada 16 Januari 1939 merupakan Ketua Polis Negara Malaysia yang keempat dan juga Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat di Malaysia iaitu selama 20 tahun.

Allahyarham menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang telah terbunuh akibat serangan komunis.

Dilahirkan di Teluk Intan, Perak, Mohammed Hanif menjadi Ketua Polis Melaka pada 7 September 1970, seterusnya Ketua Polis Selangor pada 6 Disember 1971.

Pada 1 Februari 1973 beliau mejawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara seterusnya dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang keempat pada 8 Jun 1974 hingga 15 Januari 1994.

Selepas bersara, Mohammed Hanif dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan operasi-operasi PDRM 2004-2005.

Mohammed Hanif kemudian dilantik sebagai ahli panel khas siasatan ke Aminulrasyid Amzah pada 2010, seorang pelajar sekolah yang mati mengejut selepas ditembak mati oleh polis ketika memecut melarikan diri kerana memandu kereta tanpa lesen berhampiran rumahnya di Shah Alam.

Beliau juga merupakan pnaung Yayasan Pengaman Malaysia dan pengerusi Panel Siasatan Perhimpunan Bersih 3.0.