Seorang bekas timbalan pengarah Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) bersama dua isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin ke atas 23 pertuduhan pengubahan wang secara haram bernilai RM1.96 juta.

Tertuduh, Ismail Ahmad, 59, berhadapan lapan pertuduhan berjumlah RM1.44 juta manakala dengan tuduhan bersama isteri pertamanya, Muhilim@Masniah Buaya@Buayie, 57, pula dia berhadapan dengan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM204,052.

Ismail dalam masa sama turut dituduh dengan sembilan pertuduhan pecah amanah bersama isteri keduanya, Runtiah Rais, 42, bernilai RM49,097.


Muhilim juga berhadapan dengan pertuduhan peribadi melibatkan kes pengubahan wang haram sebanyak RM83,653 manakala Runtiah sebanyak RM464,790.

Kesemua tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manaf dalam prosiding di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Untuk rekod, kertas pertuduhan yang menyebut 21 kesalahan Ismail bersama dua isterinya itu melibatkan transaksi wang daripada beberapa kontraktor ke dalam akaun peribadinya di beberapa buah bank di ibu negeri pada 23 Jan tahun lalu.

Manakala dua lagi pertuduhan yang juga membabitkan transaksi wang ke dalam akaun tertuduh dilakukan pada 24 Jan dan 29 Ogos tahun sama.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam Mottie Junius manakala Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Faliq Basiruddin.

Faliq memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000 ke atas Ismail manakala RM50,000 masing-masing ke atas dua isterinya.

Hakim kemudian memerintahkan jaminan sebanyak RM100,000 kepada Ismail perlu dibayar dua kali iaitu RM50,000 pada minggu ini manakala bakinya minggu hadapan.

Terdahulu, bagi kesemua kesalahan, ketiga-tiga suspek didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Jun depan.