IPOH: Belanjawan 2022 Perak dianggarkan RM1.1 bilion dengan RM803 juta untuk belanja mengurus manakala RM302 juta lagi untuk belanja pembangunan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, belanjawan itu dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan RM1.06 bilion.

“Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan, Belanjawan 2022 Perak dicadangkan sebagai belanjawan defisit RM50 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 yang bertemakan 'Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif' di Dewan Negeri Perak di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, belanja mengurus terdiri daripada perbelanjaan emolumen RM390.2 juta, perkhidmatan dan bekalan RM296.3 juta, pembelian aset RM7.2 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM102.7 juta, serta lain-lain perbelanjaan RM6.6 juta.

Menurut Saarani, bagi mengukuhkan strategi merancakkan semula ekonomi negeri, dana pembangunan tambahan melalui Kumpulan Wang Amanah berjumlah RM47 juta telah disediakan.

Tambahnya, dana itu akan digunakan untuk membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera.

“Sehubungan itu, jumlah keseluruhan peruntukan dan dana bagi maksud pembangunan negeri pada tahun hadapan adalah RM349 juta,” tambahnya.

Beliau berkata, selain itu, Belanjawan 2022 Perak juga akan didukung oleh komitmen kewangan oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) untuk terlibat secara langsung dalam program-program kesejahteraan rakyat termasuk dalam bidang pendidikan, pertanian dan keusahawanan.

Menurutnya, dalam situasi rakyat berdepan waktu-waktu sukar untuk bangkit daripada krisis kesihatan yang hampir dua tahun menghimpit kehidupan, peranan GLC sangat diperlukan supaya keuntungan yang dijana dapat dikongsi demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, bagi tahun 2022, kerajaan negeri menetapkan lima fokus utama dalam memastikan kedudukan kewangan negeri kekal teguh untuk mengharungi bulan-bulan mendatang yang ketidaktentuan tanpa mengabaikan tanggungjawab memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap terpelihara.

Beliau memberitahu, lima fokus itu ialah Menjana Semula Ekonomi dan Mengupayakan Sara Diri Rakyat; Memakmur dan Mensejahterakan Rakyat; Mengukuhkan Modal Insan dan Pembangunan Sosial; Memantapkan Tadbir Urus dan Pendigitalan; dan Memulihara Khazanah Alam Sekitar.