KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 dilihat mampu memacu negara ke arah menjadi sebuah negara berinovasi, berteknologi tinggi dan memperkasa ekonomi digital, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

Peruntukan kepada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bukan sahaja membantu golongan usahawan  meningkatkan tahap sosioekonomi mereka bahkan juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara.

Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, peruntukan RM25 juta bagi memperkasa PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diyakini dapat meningkatkan penjanaan pendapatan dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

"Ketika ini, terdapat 911 kemudahan PEDi yang beroperasi sebagai satu platform sehenti untuk berkhidmat kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Tambahnya, MCMC turut menyokong kerajaan dalam memperkasa fungsi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dengan menambah peruntukan kepada RM20 juta dalam usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian atau scam.

Mengulas lanjut, Mohamad Salim berkata, MCMC sentiasa mempergiatkan usaha meningkatkan kesedaran berhubung jenayah scam.

Sehubungan itu, katanya, keterlibatan MCMC dalam NSRC adalah penting bagi membangunkan masyarakat berpengetahuan dalam dunia siber.

"MCMC turut mengalu-alukan peruntukan besar berjumlah RM100 juta daripada pihak kerajaan, ke arah memupuk penggunaan pendigitalan dalam kalangan 20,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Usaha ini menandakan satu langkah ke arah meningkatkan kualiti perniagaan untuk setiap PMKS, ketika mereka memperluaskan perniagaan ke arah model perniagaan digital," ujarnya.

Mohamad Salim berkata, MCMC akan terus komited memastikan agenda pertumbuhan ekonomi digital negara dapat memperkasa rakyat ke arah literasi digital yang tinggi.