KUALA LUMPUR: Kerajaan menggandakan peruntukan membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion menerusi Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu melibatkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan serta institusi pendidikan agama.
Menurutnya, sekolah kebangsaan menerima peruntukan RM900 juta, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) RM100 juta, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) RM50 juta.
“Keadaan prasarana sekolah yang daif, menuntut perhatian segera," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, peruntukan bagi Sekolah Agama Rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut dinaikkan kepada RM200 juta.
Skop peruntukan itu juga diperluas bagi merangkumi bantuan operasi institusi berkenaan.
Selain itu, hampir RM1.3 bilion disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan menjangkakan hampir 500,000 murid memasuki Tahun Satu pada 2027, termasuk lebih 70,000 kanak-kanak berusia enam tahun.
Bagi menampung pertambahan murid, sebanyak 3,500 bilik darjah tambahan dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini menerusi kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).
Kerajaan turut merancang pembinaan sekolah baharu, bangunan prasekolah dan kemudahan tambahan di sekolah sedia ada.
Antaranya SK Seri Chemor di Ipoh, Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang serta pembinaan gantian penuh SJKT Ladang Pamol di Kluang.
Projek lain termasuk SJKC Bandar Mahkota Cheras dan bangunan prasekolah di SK Bulu Silou, Keningau, Sabah.
Sebuah kolej matrikulasi baharu juga sedang dibina di Marang, Terengganu.