MALAYSIA
Belia sukarelawan ASEAN perkukuh solidariti serantau - Hannah

Hannah berucap semasa Majlis Perasmian ASEAN Youth Volunteer 2025 yang berlangsung di Auditorium Sasana Kijang, Kuala Lumpur. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Program kesukarelawanan belia merentas sempadan ASEAN terus menjadi simbol solidariti serantau yang menyatukan generasi muda dalam semangat kemanusiaan dan pembangunan sosial.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, penyertaan aktif belia dalam usaha seperti ini merupakan asas penting dalam membina komuniti ASEAN yang lebih inklusif, progresif dan berorientasikan nilai-nilai bersama.
Dengan populasi belia serantau mencecah 220 juta orang, Hannah menekankan bahawa golongan ini menyimpan potensi luar biasa yang boleh digerakkan untuk menangani isu sosial serta menarik pelaburan ke rantau ini.
“Jika kita berjaya mencungkil bakat 220 juta belia ini, ASEAN bakal memiliki tenaga kerja muda yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi,” ujar beliau.Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian ASEAN Youth Volunteer 2025 yang berlangsung di Auditorium Sasana Kijang, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Program seperti ASEAN Youth Volunteer Forum memberi peluang kepada belia untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sosial serantau sambil memperoleh pengalaman lapangan yang bernilai.
Dua pasukan sukarelawan belia akan digerakkan ke Kota Kinabalu dan Kuching dari 13 hingga 19 Julai untuk menjalani latihan lapangan serta menyertai aktiviti komuniti seperti mengecat bangunan, menaik taraf kemudahan sukan dan menganjurkan program sosial bersama penduduk setempat
Hannah turut merakamkan penghargaan kepada golongan muda yang mengambil bahagian dalam program ini, menyifatkan semangat kesukarelawanan pada usia muda sebagai nilai yang semakin jarang ditemui namun luar biasa penting dalam membentuk masa depan yang lebih empati dan berdaya tahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami