KUALA LUMPUR: Belum ada keperluan bagi Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menggunakan fasiliti hospital swasta bagi merawat pesakit COVID-19.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, kadar penggunaan kapasiti hospital awam bagi tujuan berkenaan masih rendah dan KKM mempunyai kapasiti yang mencukupi bagi tujuan rawatan.

Kuljit menjelaskan bahawa sekiranya, ada keperluan untuk Kerajaan menggunakan hospital swasta bagi menampung rawatan pesakit COVID-19, formula yang pernah dilakukan pada tahun 2021 boleh diadaptasi semula.

“Sekiranya ada keperluan, kita sedia bantu kerajaan dari segi merawat pesakit COVID-19 yang perlu dipindahkan ke hospital swasta mengikut kapasiti.

“Pada waktu yang sama kita boleh buat sepertimana yang pernah dilakukan pada tahun 2021, iaitu hospital swasta ambil alih pesakit bukan COVID-19 daripada kerajaan, supaya kerajaan boleh tumpukan kepada pesakit COVID-19. Dari segi itu, pihak hospital swasta bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Menyentuh mengenai komunikasi antara pihak KKM dengan hospital-hospital swasta, Kuljit berkata ketika ini tidak ada perbincangan yang khusus mengenai COVID-19 memandangkan penularan jangkitan masih terkawal.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa keseluruhan sistem kesihatan swasta sudah berada dalam keadan bersiap siaga sewajarnya.

“Kita bersedia dan tidak perlu berkomunikasi (dengan KKM) kerana pada bila-bila masa hospital swasta diperlukan untuk membantu, kita akan bantu dengan kadar segera.

“Kita ada 220 buah hospital swasta seluruh negara dan setiap bandar-bandar besar kita ada hospital yang banyak,” ujarnya.

Agenda AWANI: Kes COVID-19 tinggi, terkawal