Kerajaan akan menggunakan saluran sedia ada untuk mendapatkan sampel DNA daripada waris Kim Jong Nam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk memadankan sampel DNA dengan Jong Nam.

Bagaimanapun katanya, tiada tempoh khusus ditetapkan untuk waris memberi sampel DNA tetapi kerajaan akan membuat keputusan bagi prosedur seterusnya selepas jangka masa tertentu mengikut undang-undang negara.

"Bagi kes kematian membabitkan warga tempatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), biasanya kita meneruskan prosedur berkenaan selepas dua minggu.

"Saluran sedia ada termasuk usaha menjejaki keluarga terdekatnya dan mengiklankan pencarian di media.

"Dalam kes ini kita boleh mendapatkan DNA waris Jong-nam kerana kita percaya mereka ada, cuma tidak diketahui lokasinya," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

BACA: Laporan autopsi tidak sebut Kim Chol mati akibat serangan jantung

BACA:
Kementerian Kesihatan ambil tindakan selanjutnya jika mayat Jong Nam tidak dituntut - Subramaniam

Jelasnya, hingga kini KKM masih belum menerima sebarang DNA berkait dengan kes pembunuhan Kim Jong Nam.