Datuk Seri Najib Razak pada Rabu malam mempertikai dakwaan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mengaku nilai dirinya adalah pada tahap 9.95 daripada 10.

Kata bekas perdana menteri itu, beliau mahu masyarakat menilai sendiri kenyataan Maszlee itu.

"Maszlee nilai dirinya 9.95 daripada 10. Saudara-saudari beri dia berapa skor? Kalau dia tahu nilainya di mata rakyat, tak lena dia, dan malam ini dia main lagu Linkin Park lagi," katanya.

Menulis dalam satu posting di laman sosial Facebook miliknya, Najib turut memperli Maszlee dengan bertanya siapakah guru di sebalik dakwaan yang dibuat beliau itu.

"Maszlee juga kata dia seorang yang sedang belajar. Kasut, stokin dan renang. Apa sebenarnya yang dia belajar dan siapa gurunya?

"Tidak mengapalah, dibayar gaji berpuluh-puluh ribu sebulan untuk belajar, siapa tak nak dan apa salahnya? Selesa," kata beliau lagi.




Pada masa sama, Najib mengingatkan Maszlee agar menambah pengetahuannya mengenai sistem pendidikan negara.

"Sampai hari ini kita tidak tahu apa sumbangan positif dia kepada sistem pendidikan, ibu bapa, pelajar, mahasiswa. Tapi memang baiklah kalau sudi belajar, Maszlee.

"InsyaAllah ada masa kita akan beri pendapat dan cadangan," ujarnya.

Maszlee dalam satu temubual dengan Malaysiakini baru-baru berkata, beliau tidak akan menilai dirinya sebagai seorang menteri dalam tempoh enam bulan ini, tetapi melihat dirinya sebagai seorang yang sedang belajar.

Justeru, katanya, beliau memberikan dirinya nilai 9.95 daripada 10.