ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 18 April 2024.


1. OIC gesa siasatan jenayah dilakukan terhadap Israel berhubung tahanan Palestin

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa siasatan dijalankan terhadap semua jenayah yang dilakukan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.



2. Israel akan mempertahankan dirinya sendiri - Benjamin Netanyahu

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberitahu mesyuarat Kabinet pada Rabu bahawa Israel akan memutuskan sendiri bagaimana untuk bertindak balas terhadap serangan hujung minggu lalu oleh Iran.


3. Lebih 14,000 kanak-kanak dibunuh di Gaza, Israel telah mengalahkan Hitler - Presiden Turki

Dengan membunuh lebih 14,000 kanak-kanak yang tidak bersalah di Gaza, Israel telah pun mengalahkan pemimpin Nazi Adolf Hitler, kata Presiden Turki, pada Rabu.


4. 14 orang cedera dalam serangan Hizbullah ke atas pusat komando Israel

Pasukan pejuang Hizbullah yang disokong oleh Iran melancarkan “serangan gabungan dengan peluru berpandu berpandu dan dron letupan pada Rabu ke atas pusat komando di Arab Al-Aramshe,” ketika ia menyasarkan tentera Israel di selatan sempadan dengan Lubnan.


5. Google pecat 28 pekerja gara-gara protes projek kerjasama dengan Israel

Google memecat 28 pekerjanya pada Rabu selepas mereka terlibat dalam protes terhadap projek Nimbus, iaitu kontrak layanan perkomputeran awan bernilai AS$1.2 bilion dengan kerajaan Israel, dan membabitkan Amazon.


6. Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh lawat Turki hujung minggu ini - Erdogan

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, beliau akan menjadi tuan rumah kepada pemimpin kumpulan pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh, hujung minggu ini.


7. Parti politik India perhebat dekati pengundi, bagi pusingan pertama pilihan raya kebangsaan

Parti politik India telah memperhebatkan program besar-besaran untuk mendekati pengundi ketika negara itu bersiap sedia untuk mengadakan pusingan pertama pilihan raya Parlimen pada Jumaat.


8. Gempa kuat bermagnitud 6.3 landa Jepun - MetMalaysia

Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.3 dikesan di Shikoku, Jepun pada 10.14 malam tadi.


9. Wanita Singapura hilang di Sepanyol ditemui mati dengan kesan tikaman: Laporan

Seorang wanita warga Singapura yang hilang ketika bercuti di Sepanyol ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman, lapor media Sepanyol pada Rabu.


10. Bekas pemain nombor satu dunia, Kento Momota umum bersara

Juara dunia dua kali Kento Momota berkata dia akan bersara daripada badminton antarabangsa ketika usianya kini 29 tahun, dan mengakui prestasinya tidak lagi sama sejak kemalangan kereta yang serius empat tahun lalu.