ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 12 September 2020.


1) PRN Sabah: Shafie Apdal berdepan empat calon lain di DUN Senallang

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdepan empat calon lain di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.65 Senallang pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16.

Selepas selesai proses penamaan calon, Shafie disahkan akan bertanding menentang Norazman Utoh Naim (Bersatu/PN), Mad Jalie Lais (PCS), Mohammad Ramzan Abdu Wahab (USNO) dan Datu PG. Ahmad Datu Ali Alam (PPRS).


2) PRN Sabah: Muhyiddin umum Gabungan Rakyat Sabah

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penubuhan Gabungan Rakyat Sabah, satu bentuk kerjasama antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ia bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 (PRN Sabah) kali ini.


3) COVID-19: Garis panduan solat jemaah berdasarkan perbincangan Majlis Fatwa Kebangsaan

Garis panduan solat berjemaah di masjid dan surau ketika negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dibuat berdasarkan perbincangan antara para ulama menerusi Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata demikian merujuk kepada rakaman video berdurasi dua minit seorang pendakwah terkenal Datuk Mohd Kazim Elias yang meminta amalan norma baharu solat berjemaah yang bercanggah dengan Islam dikaji semula.


4) 82 individu ditahan ingkar PKP, 108 PATI ditahan kerana cuba masuk ke negara ini

Seramai 84 individu ditahan semalam, atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan harian, hari ini.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 76 individu telah dikompaun manakala lapan individu direman.


5) 108 PATI cuba masuk ke Malaysia: Ini lima perkara penting kenyataan Menteri Kanan Pertahanan

Seramai 84 individu ditahan semalam, atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan harian, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, 108 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang penyeludup telah ditahan dalam Operasi Benteng semalam.


6) Imigresen umum garis panduan terkini peraturan keluar masuk rakyat Malaysia

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menetapkan garis panduan terkini bagi warganegara Malaysia yang ingin keluar dan masuk ke dalam negara sehingga berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

JIM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan beberapa kategori bagi ketetapan itu antaranya golongan yang tidak perlu memohon kelulusan, perlu memohon kelulusan dan tidak dibenarkan keluar negara serta prosedur untuk masuk semula ke Malaysia.


7) Jangan mengaku wakili Pejuang, kami tidak bertanding dalam PRN Sabah - Mukhriz Mahathir

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan parti itu tidak meletak calon untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut beliau, sesiapa yang mengakui dirinya mewakili Pejuang dan menyertai PRN Sabah, tidak langsung berurusan dengan kepimpinan Pejuang.

8) Bukan 2 pagi, waktu operasi premis perniagaan di KL kekal 12 tengah malam

Waktu operasi premis perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) masih kekal sehingga pukul 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Pengurusan Krisis WPKL (CMCWPKL) yang bersidang pada 11 September.


9) COVID-19: 58 kes baharu dilapor, Kluster Laut pula dikenal pasti

Selepas meningkat kepada tiga digit pada Jumaat, jumlah jangkitan pandemik COVID-19 di negara ini pada hari ini menurun kepada 58 kes baharu.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,868 kes


10) Fahaman liberal di Johor terkawal - Tosrin

Fahaman liberal yang dilaporkan menular di Johor tidak serius dan dipercayai disebarkan oleh pihak dari China yang menyasarkan golongan berusia 40 tahun ke bawah.

Mendedahkan perkara itu kepada pemberita hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata bagaimanapun pihaknya akan terus melakukan pemantauan selain akan mengadakan mesyuarat susulan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Cawangan Khas Polis Johor.