MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 21 September 2020.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang di hampir semua kawasan di seluruh negara, sehingga 9 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan amaran itu dikeluarkan bagi seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Perlis, Perak, Selangor dan Melaka.
Sebanyak 4,968 individu dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah di Melaka pada tahun lepas, sekali gus meletakkan negeri itu di kedudukan keenam daripada 14 negeri.
Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Nazir Mohamad berkata nisbah individu terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah di negeri itu pada tahun sama ialah 534 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Johor berharap agar kadar elaun wakil rakyat di negeri ini dikaji semula dan dipertimbangkan untuk kenaikan.
Yang Dipertuanya Datuk Abdullah Md Ali berkata kali terakhir kadar elaun 56 wakil rakyat negeri ini dinaikkan adalah pada 2015 dan ia dilihat jauh lebih rendah berbanding negeri seperti Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang.
Anggota bomba terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang tersepit di antara tiang elektrik dan sebatang pokok di Surau Kampung Bakap, dekat sini, pada Isnin.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.23 petang
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempergiat pemantauan dan memperkasakan peraturan berkenaan keselamatan di kawasan tapak pembinaan di ibu negara, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
Beliau berkata pemantauan secara berkala akan dilaksana bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin.
Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa calon Parti Warisan Sabah, Datuk Mohamaddin Ketapi yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 memohon maaf kepada waris anggota keselamatan yang terkorban dalam tragedi Tanduo pada Mac 2013.
Kesal dengan kenyataan calon Warisan itu, Yang Dipertua (YDP) PVATM, Marshid Mohd Salleh berkata, Mohamaddin seharusnya tidak menggunakan isu tersebut sebagai bahan kempen.
Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 bertujuan mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah sementara berhubung pembiayaan kerajaan untuk mengurangkan kesan COVID-19.
Rang undang-undang yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu diluluskan dengan suara terbanyak Ahli Dewan Negara selepas bacaan kali ketiga.
Tanggapan umum bahawa kebocoran gas karbon monoksida hanya boleh berlaku pada kenderaan lama tidak benar kerana ia juga boleh berlaku pada kenderaan baharu.
Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Senator Datuk T. Mohan berkata selain itu syor segelintir pihak kononnya menurunkan cermin kenderaan dapat mengelak keracunan gas karbon monoksida juga tidak tepat.
Syarikat milik usahawan kosmetik Safiey Ilias hari ini ini didenda RM23,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menjual dan memiliki produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap DSI Empire Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikatnya Safiey Alias atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias, 26, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapi.
Seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami kecederaan selepas ditembak di hadapan rumahnya di Jalan BK 5/3 Bandar Kinrara, Puchong hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan memberitahu Bernama insiden itu berlaku pada 12.45 tengah hari tadi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami