ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 24 September 2020.

1) COVID-19: 71 kes baharu direkodkan, Kluster Bangau-Bangau terus catat pertambahan

Sebanyak 71 kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini, sedikit menurun berbanding angka semalam.

Daripada jumlah itu, 69 kes merupakan kes tempatan manakala dua lagi kes adalah kes import.

2) Nilai R-naught kembali meningkat, KKM rayu orang ramai terus patuhi SOP

Nilai R-naught yang menentukan kadar kebolehjangkitan di negara ini dilihat tidak stabil dan kembali meningkat.

3) Kerajaan dibentuk kelak adalah rencana saya untuk kembalikan mandat rakyat - Anwar

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan yang dibentuk kelak adalah rencana beliau untuk mengembalikan mandat rakyat.

4) MP UMNO sokong Anwar? Ini pandangan Tun Mahathir

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad percaya sokongan sebilangan Ahli Parlimen UMNO / Barisan Nasional kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya, bukanlah sokongan secara percuma.

5) Kerajaan cari jalan kurangkan kos hidup di Sabah, Sarawak - Muhyiddin

Kerajaan akan mencari jalan untuk memastikan kos sara hidup di Sabah dan Sarawak dapat diturunkan termasuk barangan keperluan asas.

6) PRN Sabah: Shafie mohon maaf pilihan raya terpaksa diadakan ketika COVID-19

Berbaki lebih kurang 24 jam lagi kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyeru jentera parti agar menjaga keselamatan diri dan mengelak daripada pengundi dijangkiti COVID-19.

7) Annuar Musa sahkan dirinya diarah kuarantin

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan dirinya telah diarahkan menjalani kuarantin di kediamannya di Kota Kinabalu, Sabah.

8) Lemas karbon monoksida: Mangsa terselamat sudah sedar dari koma - Polis

Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21 sewaktu tertidur di dalam sebuah kereta ketika berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth pada 17 September dilaporkan sudah sedarkan diri dari koma malam ini.

9) Bunuh anak sendiri, wanita dan teman lelaki dihukum gantung

Sepasang kekasih dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak kepada tertuduh wanita pada 2014.

10) 352 ketul ganja mampat dirampas: Polis bongkar sindiket edar dadah di Pulau Pinang

Polis Pulau Pinang sedang giat mengesan dalang serta ahli sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di negeri itu sejak sebulan lalu.