ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 12 November 2020.

1. PKPD Medan 88: Penduduk 'lari' digesa tampil buat saringan COVID-19

Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan penduduk yang terperangkap atau gagal dikesan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi tampil membuat saringan COVID-19 disediakan secara percuma.

2. COVID-19: Satu lagi kluster baharu dikenal pasti, tiga kluster diisytihar tamat

Satu lagi kluster baharu COVID-19 dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Teluk, melibatkan daerah Kota Kinabalu di Sabah.

3. COVID-19: 919 kes baharu, satu kematian

Sebanyak 919 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 43,791 kes, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

4. PKPD Medan 88, Salak Tinggi: MKN arah polis kesan, tangkap 400 penduduk

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan polis untuk mengesan dan menangkap 400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang yang hilang selepas kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis (12 November).

5. PKPB: Anugerah hiburan bawah industri kreatif, dibenarkan berlangsung

Acara anugerah hiburan tahunan yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat di ibu negara dibenarkan kerana tertakluk di bawah industri kreatif yang termasuk dalam senarai prosedur operasi standard (SOP) yang boleh beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

6. Taska boleh beroperasi jika dapat kelulusan JKM - Rina Harun

Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) awam dan swasta dibenarkan untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

7. Sabah perlu diberi keutamaan terima bekalan vaksin COVID-19

Status Sabah, selaku negeri yang mencatat kes positif COVID-19 tertinggi, perlu diberi keutamaan menerima bekalan vaksin COVID-19 kelak.

8. PKPD tiga kawasan di Kudat dilanjutkan hingga 26 November

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kawasan yang terlibat ialah Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang.

9. Bekalan keperluan asas di PKPD Medan 88 mencukupi - Rina Harun

Bantuan bekalan keperluan asas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi di sini mencukupi setakat ini.

10. Belanjawan 2021: Tun Mahathir puji cara Kerajaan tangani COVID-19, tetapi...

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Kerajaan telah menangani penularan COVID-19 dengan baik, tetapi itu tidak bermaksud semua pihak boleh berpuas hati.