KUALA LUMPUR: ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 7 September 2022.

1. Kerajaan jamin kebebasan media - PM

 Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan kepada pengamal media di dalam negara bahawa mereka bebas melaporkan sebarang berita, namun ia mesti bersandarkan fakta yang benar dan sahih. 

2. Saya 'berhenti' Pas, bukan 'keluar' - Khairuddin

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan beliau 'berhenti' daripada Pas dan bukannya 'keluar' daripada parti yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu.

3. 1MDB: 38 cek berjumlah RM8.4 juta dikeluarkan, bayar kepada UMNO, bekas menteri - Saksi

Sebanyak 38 keping cek berjumlah RM8.4 juta dikeluarkan menggunakan akaun bank AmIslamic milik Datuk Seri Najib Razak antara Mac 2011 dan Mei 2013, menurut Pengurus Kanan Pusat Pemprosesan Cek AmBank, Badrul Hisam Mohamad.

4. Polis buru lelaki intai guru wanita di tandas

Polis sedang memburu seorang lelaki yang didakwa mengintai seorang guru wanita di tandas Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), pada 15 Ogos lalu, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim.

5. Cemuh UMNO parti 'jahat', Shahril saran Tun M masuk gelanggang PRU15

Shahril Hamdan mempelawa kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya bekas Perdana Menteri itu berpendapat parti UMNO 'jahat' dan perlu ditewaskan.

6. Banjir Baling: Penduduk Kampung Iboi ingin segera pindah, tidak sanggup lagi tanggung kerugian

Rata-rata penduduk yang tinggal di pesisir Sungai Kupang juga trauma dengan bencana alam yang turut menyebabkan mereka menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda selepas kejadian ketiga pada petang Selasa mengakibatkan lumpur setinggi satu meter memasuki kediaman dan premis perniagaan.

7. Pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan

Pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta, umum Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa KKM.

8. Abdul Azeez kemuka lagi representasi batal tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim berkata representasi terbaharu itu dihantar pada 5 Sept lepas, hari sama Mahkamah Rayuan menolak permohonan Ahli Parlimen Baling itu untuk membatalkan sembilan pertuduhan dihadapinya.

9. Sumber wang untuk Zahid tidak perlu dibuktikan termasuk jika dari 'langit ketujuh' - TPR

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa sumber wang yang didakwa diberikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi oleh syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), tidak perlu dibuktikan sama ada wang itu turun dari 'langit ketujuh' atau sebagainya.

10. Ringgit ditutup pada 4.50 berbanding dolar AS, terendah dalam 24 tahun

Ringgit ditutup pada paras terendah dalam 24 tahun berbanding dolar AS (Amerika Syarikat) hari ini di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat dan peningkatan hasil Perbendaharaan AS yang mendorong para pelabur beralih kepada dolar AS, menjatuhkan mata wang dunia lain, termasuk ringgit.