ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 6 November 2023.


1. Minitkan perbincangan berkaitan Laporan Ketua Audit Negara - PM Anwar

LKAN itu perlu diteliti semula bagi memperbaiki tata kelola pentadbiran, selain dapat mengenal pasti dan membantu mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran negara.



2. Kes penipuan pelaburan i-Serve, dua lagi ditahan

PDRM menahan dua lagi individu berhubung kes penipuan pelaburan i-Serve pada awal pagi Isnin.


3. PIBG MCKK selar tindakan tular kejadian buli

Pihak PIBG mengambil pendirian bahawa keputusan yang diambil oleh pihak sekolah perlu dihormati atas dasar pertimbangan sewajarnya demi kebaikan semua pihak.


4. 1MDB: Tiga pertuduhan terhadap Najib dipinda

Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.


5. 8 barang disenarai bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali

Lapan barangan termasuk bawang merah besar import dan kacang dal Australia disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023.


6. 5G kedua: Huawei juga perlu lalui proses tender terbuka seperti Ericsson

Pengendali rangkaian 5G kedua atau Entiti B kelak akan menjalankan proses yang sama mengikut tatakelola mereka dalam melantik vendor bagi penyedia perkakasan rangkaian 5G, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.


7. Struktur cukai jalan EV diumum bulan depan - Loke

Kerajaan akan mengumumkan struktur cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk kenderaan elektrik (EV) yang lebih kompetitif bulan depan sebagai usaha menggalakkan penggunaan kenderaan itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.


8. Deepavali: Pengecualian bayaran tol dibincang dengan pengendali lebuh raya - Ahmad Maslan

Cadangan pengecualian bayaran tol sempena Deepavali yang bakal disambut hujung minggu ini sedang dalam perbincangan, Dewan Rakyat diberitahu.


9. Perkembangan ringgit tidak jejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara - PM Anwar

Perkembangan ringgit dijangka tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


10. Tindakan papar nama ahli Parlimen 'ponteng' memalukan - Ronald

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee menyelar tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mencadangkan untuk memaparkan nama ahli Parlimen yang ‘ponteng’ sidang Parlimen di laman web Dewan Rakyat.