NATIONAL

Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani 09/05/2025 | 15:59 MYT
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 9 Mei 2025.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 9 Mei 2025.


1. BN, PH sepakat kerjasama hadapi PRN Sabah

Pakatan Harapan dan Barisan Nasional setuju untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang. Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.



2. Warga emas cedera SUV rempuh restoran meninggal dunia, 7 masih dirawat

Seorang wanita warga emas yang menjadi mangsa rempuhan kenderaan utiliti sukan (SUV) di sebuah bangunan restoran makanan segera KFC dekat Sitiawan pada malam Khamis disahkan meninggal dunia.


3. Dakwa periksa 'makmal dadah', perompak menyamar polis di Semenyih

Sekumpulan lima lelaki menyamar sebagai anggota polis yang kononnya mahu memeriksa sebuah rumah yang didakwa dijadikan sebagai makmal dadah di Semenyih. Namun, alasan itu sebenarnya digunakan untuk menyamun.


4. Kementerian Pengangkutan arah 2 syarikat e-hailing Rusia henti operasi 24 Julai

Kerajaan mengarahkan dua syarikat menyediakan aplikasi e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim, yang didakwa beroperasi secara haram, menghentikan operasi masing-masing berkuat kuasa 24 Julai ini.


5. Anwar sah pertahan jawatan Presiden PKR

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan mempertahankan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti yang dijadual berlangsung tidak lama lagi.


6. Sah! Nurul Izzah tawar diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR

Nurul Izzah Anwar mengesahkan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 23 Mei depan.


7. SPRM nafi pegawai kanan 'tekan' Pamela Ling supaya selesai isu penceraian ketika disiasat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan tular di TikTok bahawa seorang pegawai kanannya 'menekan' Datin Seri Pamela Ling Yueh, wanita yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu, untuk menyelesaikan isu penceraian dengan suaminya, semasa siasatan dijalankan.


8. Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh setahun berkuat kuasa 13 Mei ini.


9. PRN Sabah: GRS sedia bertanding solo jika PH-BN teruskan kerjasama - Hajiji

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedia bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri akan datang sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk terus bekerjasama.


10. Hannah harap siasatan kes Faisal Halim diteruskan

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap siasatan kes simbahan asid terhadap pemain kebangsaan Muhammad Faisal Abdul Halim tetap diteruskan meskipun sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

















#berita pilihan #tempatan #SPRM #Parti Keadilan Rakyat