MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 29 Jun 2025.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 29 Jun 2025.
Ibu kepada Allahyarham Nurly Shahirah Azman, seorang daripada mangsa kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik pada 9 Jun lepas meminta orang ramai yang menziarahi pusara anaknya supaya menjaga adab dengan tidak melakukan perbuatan syirik dan khurafat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ditukarkan ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), berkuat kuasa Isnin.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Hospital Pasir Gudang (HPG) yang diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada Ahad, akan beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak mahu melihat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berakhir dengan tindakan undang-undang hanya kerana terlibat dalam budaya buli.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua bas ekspres dan bas persiaran bermula 1 Julai ini.
Pemandu yang terlibat dalam insiden bot pelancong terbalik di perairan Pulau Perhentian pada malam Sabtu didapati mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.
Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak memuat naik kandungan tidak wajar di media sosial termasuk berkaitan aset keselamatan bagi mengelakkan pihak yang mempunyai niat tidak baik mengetahui kekuatan pertahanan negara.
Kehadiran lebih tiga dekad UMNO di Sabah membuktikan parti itu bukan lagi boleh dilabel sebagai 'parti luar' atau 'parti Malaya' sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada landskap politik Negeri Di Bawah Bayu.
Keluarga kepada Allahyarham Nurly Sahirah Azman berharap agar individu yang mengambil tanah pusara anak mereka tampil memohon maaf serta memohon keampunan kepada Allah SWT.