MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang Khamis

Antara pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 18 Februari 2021.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.
Peguam yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Jagjit Singh memaklumkan anak guamnya kecewa dengan keputusan mahkamah pada Khamis.
“Dia (Rosmah) tidak bercakap, emosi dia terganggu dan dia agak kecewa."
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menerima rakaman audio “Can I advise you on something” untuk menjadi bukti dalam pertuduhan rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.
Rakaman audio yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dipercayai sebagai sebahagian daripada perbualan antara Rosmah dan suaminya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Seseorang tertuduh adalah tidak bersalah sehingga pertuduhan dibuktikan di akhir proses perbicaraan.
Ini bermakna sekiranya kes prima facie berjaya dibuktikan pada akhir pendakwaan, sesuatu kes itu akan ke peringkat yang seterusnya iaitu proses pembelaan sebelum mahkamah membuat keputusan.
Negara sekali lagi merekodkan kes kematian tertinggi akibat COVID-19 apabila sejumlah 25 lagi mangsa meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan bahawa golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) dijangka menerima suntikan vaksin pada Fasa Keempat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Ketua Pengarah, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kesemua PATI itu akan diberikan suntikan satu dos setiap orang menggunakan vaksin daripada beberapa syarikat.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan ahli di bawah umur 55 tahun yang telah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac 2021.
Dalam satu kenyataan malam ini, KWSP berkata ini termasuk mana-mana permohonan baharu yang diterima selepas tarikh tersebut, tertakluk kepada baki yang sedia ada dalam Akaun 1 ahli.
Dijadikan kambing hitam selepas ditipu membabitkan pinjaman bank bernilai ratusan ribu ringgit, itu kisah sepasang suami isteri yang kini berdepan tindakan undang-undang apabila akaun bank mereka didakwa digunakan sindiket penipuan.
Ketika mereka terperangkap dan menderita, sindiket itu bagaimanapun masih bebas dan terus mencari tunggangan 'keldai' yang baharu demi mengaut keuntungan dengan melakukan penipuan secara dalam talian.
Pengasas aplikasi Sugarbook yang ditolak permohonan reman ke atasnya pagi tadi ditahan semula oleh polis hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rogol dan persundalan.
Keluarga kepada dua remaja yang maut dalam kemalangan melibatkan basikal lajak empat tahun lepas melahirkan rasa syukur dengan keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi di sini berhubung kes berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami