IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak berkumpul dengan memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan terutama di kawasan-kawasan tumpuan pelancong.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, ini adalah kerana tindakan sedemikian dikhuatiri akan membahayakan keselamatan mereka serta pengguna jalan raya lain.

Malah, kata beliau, tindakan memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan tanpa alasan munasabah juga akan mengganggu kelancaran aliran trafik di sesuatu kawasan.

“Apabila tiba sahaja musim cuti perayaan atau persekolahan, banyak kenderaan akan berkonvoi ke tempat-tempat tumpuan pelancong atau tempat peranginan.

“Justeru kita mengambil langkah dengan menempatkan pegawai dan anggota kita di kawasan-kawasan berkenaan untuk tujuan pemeriksaan dan pemantauan.

“Selain itu JPJ juga turut mengadakan sekatan jalan raya (SJR) bersasar yang mana ia lebih kepada tujuan advokasi. Kerana ada juga yang berkonvoi tetapi mematuhi peraturan.

“Oleh sebab itu, aktiviti berkonvoi ini tidak salah, akan tetapi yang salahnya apabila berkonvoi dengan melakukan kesalahan jalan raya tertentu (seperti berhenti di lorong kecemasan untuk bergambar dan sebagainya),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Op Tahun Baharu Cina 2022 Peringkat Negeri Perak di Kilometer (km) 1, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands dekat sini pada Isnin.

Hadir sama Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Aedy Fadly Ramli (kanan) menyapa pemandu yang melintasi sekatan jalan raya sempena Op Tahun Baharu Cina 2022 Peringkat Negeri Perak di Kilometer (km) 1, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands pada Isnin. – Gambar Astro AWANI

Sebelum ini media melaporkan, sekumpulan individu dipercayai ahli kelab kereta melakukan aktiviti 'santai' dengan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di kedua-dua arah di Lebuhraya Temiang-Pantai di Seremban.

Tindakan mereka yang dikatakan bertujuan mahu mengambil gambar yang didakwa merupakan sebahagian daripada aktiviti lepak santai berkenaan telah mengundang kebimbangan orang ramai.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata, JPJ akan menempatkan anggota dan pegawai di beberapa kawasan tumpuan pelancong seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Port Dickson serta di utara Semenanjung bagi mengekang kejadian sama berlaku terutama pada musim cuti Perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu sebanyak 1,329 notis dan saman dikeluarkan JPJ Perak atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang operasi TBC bermula yang 25 Januari sehingga hari ini.