Pelajar Malaysia di Australia disaran sentiasa mempromosi keharmonian dan membetulkan sebarang persepsi negatif terhadap negara di mata dunia.

Wakil Gerakan WeMalaysia di Adelaide, Oscar Zi Shao Ong berkata, pelajar Malaysia juga perlu memastikan semangat kerjasama antara satu sama lain sekali gus berupaya mewujudkan permuafakatan masyarakat di perantauan.

"Kita perlu menekankan kepentingan peranan pelajar-pelajar yang berada di luar negara untuk menyemai semangat kesatuan dan cinta negara.

"WeMalaysia sentiasa berbesar hati untuk memberikan sokongan terhadap sebarang program untuk menyemai keharmonian atau mempromosi keunikan negara pada masa akan datang," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Terap patriotisme walau jauh dari negara - WeMalaysia

BACA: 'Perkukuh perpaduan pelajar di perantauan' - WeMalaysia Australia


Oscar berkata, Majlis Malam Gala Merdeka 2016 yang diadakan baru-baru ini merupakan kolaborasi bersama Kelab UMNO Adelaide dan Organisasi Pelajar Malaysia di South Australia.

Ia terdiri daripada Majlis Persatuan Pelajar Malaysia South Australia (MASCA SA), Persatuan Pelajar Malaysia University of Adelaide dan Kelab Usahawan Pelajar Malaysia University of South Australia.

Turut hadir, Ahli Parlimen South Australia, Jing Lee yang merupakan ahli parlimen pertama di South Australia dan lahir di Malaysia.

Jelas Oscar, program itu diadakan dengan kerjasama WeMalaysia Australia dan merupakan inisiatif mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di South Australia.

"Kita mahu menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan pelajar Malaysia yang mewakili pelbagai kaum.

"Usaha murni ini bertujuan untuk memupuk semangat patriotism pelajar Malaysia di perantauan terhadap negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

"Majlis yang diadakan di Dom Polski Center, Adelaide berdekatan dengan University of Adelaide turut disertai masyarakat Australia dan bertujuan memberi peluang kepada komuniti Malaysia di Australia untuk bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan.

"Selain itu kita mahu mempamerkan keunikan negara yang berbilang kaum menerusi pelbagai hidangan serta persembahan tradisional mewakili ketiga-tiga kaum utama Malaysia," jelasnya.

Katanya lagi, program itu merupakan julung kali diadakan di South Australia di mana semua persatuan pelajar di Australia bersatu demi merealisasikan objektif pertemuan.

"Kita mahu mencetus semangat kerjasama antara satu sama lain sekali gus berupaya mewujudkan permuafakatan dan rasa muhibah masyarakat di perantauan," ujarnya.