Sudahlah berdepan misi sukar mengeluarkan seekor lembu yang terperangkap di dalam telaga sedalam 6 meter, tugas itu disulitkan lagi dengan kelibat dua ekor biawak yang mengganggu operasi menyelamat dijalankan.

Dalam kejadian di Kampung Lahar Jeniang dekat Sik, Kedah, biawak berkenaan seolah-olah menjadi pengawal dan bertindak menghalang tugas anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sik menaikkan lembu betina itu.

Dua ekor biawak yang agak agresif itu terlebih dahulu ditangkap anggota APM sebelum usaha menaikkan lembu itu dilakukan.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Lt (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 6 petang mengatakan seekor lembu terjatuh di dalam telaga di kawasan hutan belakang kawasan latihan kadet tentera di Jeniang.

BACA JUGA: Semalaman lembu 'Kak Ha' dalam perigi, akhirnya diselamatkan bomba

Katanya, kerja menaikkan lembu betina itu agak sukar kerana anggota terpaksa menjerut badan lembu seberat 85 kilogram itu untuk ditarik naik ke atas.

Lembu itu mengalamai sedikit kecederaan di bahagian badan dan kepala kesan geseran pada simen konkrit telaga.

Jelas Haisul, lembu itu kemudiannya diserahkan kepada pemiliknya.