SHAH ALAM: Perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) akan bermula 24 Mei di Mahkamah Tinggi di sini.

Sebelum ini, kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 12 April ini tetapi ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kemudiannya ditunda ke Mei hingga Jun berikutan pertukaran Hakim Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa yang akan mendengar kes itu menetapkan 16 hari untuk perbicaraan iaitu pada 24, 25 dan 27 Mei, 1-3 Jun, 14 hingga 18 Jun dan 21 hingga 25 Jun.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata 15 saksi dijangka dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan itu.

"Kami telah mempersetujui tarikh yang baharu kerana hakim berubah dari Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin kepada Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa.

"Memandangkan semua telah mempersetujui tarikh baharu, dijangka tiada penangguhan (pada perbicaraan). Selain itu, kita akan menyediakan keterangan saksi secara komprehensif seperti yang diminta mahkamah," katanya kepada pemberita selepas penetapan tarikh baharu di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid, 68, yang juga Presiden UMNO tidak hadir ke mahkamah dan diwakili peguam Hamidi Mohd Noh.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

- BERNAMA