Orang ramai tidak boleh lagi membayar bil air SYABAS di kaunter pembayaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk mana-mana ejen lantikannya, mulai Jun 1.

Menurut Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas Priscilla Alfred, keputusan ini hasil rundingan bersama di antara SYABAS dan TNB.

“Sehubungan itu, pembayaran bil elektrik TNB juga tidak lagi diterima di semua Pusat Perkhidmatan Kaunter Setempat SYABAS (OSCS)," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, pelbagai saluran pembayaran bil air sediada yang lain kekal memberikan perkhidmatan kepada pengguna SYABAS bagi urusan pembayaran bil air sama ada secara tunai atau melalui cek.

Urusan ini adalah di semua Pusat Perkhidmatan Kaunter Setempat SYABAS (OSCS) dan agensi kutipan rasmi seperti bank, ATM dan perbankan Internet.

Menurut kenyataan itu, pengguna yang memilih untuk melakukan urusan pembayaran bil air di Pusat Perkhidmatan Kaunter Setempat SYABAS, waktu operasi adalah dari jam 9 pagi hingga jam 4:30 petang (Isnin hingga Jumaat).

Pengguna juga dinasihatkan agar membuat pembayaran bil air mengikut tempoh waktu yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kesulitan akibat bekalan air dipotong kerana terlambat membayar bil air.