Risau dan tidak yakin dengan pematuhan pelanggan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini, seorang pemilik restoran terkemuka di sini mengambil keputusan untuk tidak membuka operasi seperti biasa.

Sebaliknya, pengusaha Restoran Nasi Ayam Fuziah, Nuurul Adni Md Yusuf@Muhamad memilih untuk terus menyediakan juadah termasuk juadah berbuka puasa seperti kuih muih, laksa, nasi ayam serta nasi kerabu secara bungkus dan bawa balik dari jam 3 petang hingga 7 malam.

Selain bimbang akan dikenakan tindakan sekiranya gagal memastikan pelanggan mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu menjaga jarak sosial satu meter dan mengelak dari bersentuhan, Nuurul Adni juga risau dengan risiko penularan wabak COVID-19.

"Sebagai contoh, walaupun saya sudah meletakkan tanda untuk mereka berdiri supaya menjaga jarak semasa memilih kuih muih yang dijual di pintu masuk restoran, tetapi ia tidak diikuti, saya terpaksa mengawal dengan menetapkan hanya lima orang dibenarkan pada satu-satu masa," katanya ketika ditemui Bernama di restoran yang terletak di Bandar Meru Raya, di sini, semalam.

Ibu kepada empat anak itu berkata kebiasaannya restoran miliknya menyediakan khemah di bahagian luar supaya lebih ramai pelanggan boleh mendapatkan tempat duduk dan berbuka puasa pada bulan Ramadan, tetapi tidak pada kali ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bimbang dengan penularan wabak COVID-19.

"Bagaimanapun, sekiranya kami dapat merancang kaedah yang terbaik untuk menyediakannya, kami akan memaklumkannya di laman sosial Facebook," katanya.

Sementara itu, pemilik Restoran Simpang Tiga, Azlan Mohamad Saaid, berkata beliau juga tidak bersedia untuk membenarkan orang ramai datang makan di premisnya yang terkenal dengan masakan Padang.

Beliau berkata walaupun menyokong keputusan kerajaan itu, namun beliau berpendirian untuk tetap menjalankan perniagaan secara pandu lalu, penghantaran dan konsep e-bazar iaitu secara dalam talian.

"Untuk makan di restoran buat masa sekarang tidak sesuai kerana pelanggan juga masih berwaspada dengan COVID-19 malah mereka pasti tidak selesa untuk menjamu makanan di restoran," katanya.

Tinjauan Bernama di beberapa restoran sekitar bandar raya ini mendapati kebanyakannya yang ditutup sepanjang tempoh PKP belum membuat persediaan termasuk melakukan pembersihan serta melaksanakan syarat-syarat PKPB untuk beroperasi semula Isnin ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja semalam, berkata restoran dibenar beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perniagaan iaitu penjarakan sosial serta mencatat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh kehadiran mereka semasa PKPB.

-- BERNAMA