KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Program Bulan Menabung Simpan SSPN atau BMS 2021 bertemakan Galaksi dengan slogan ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’, pada Sabtu.

Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, program yang berlangsung sepanjang bulan Oktober itu bertujuan mempromosi dan membudayakan perancangan kewangan serta membuktikan manfaat penabungan untuk pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia juga selaras dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun dalam menyemai semangat penabungan masyarakat seluruh dunia selain mengadaptasi perkhidmatan dan kemudahan platform digital meskipun masih dibelenggu pandemik COVID-19.

“PTPTN telah menyediakan kemudahan transaksi secara dalam talian termasuk pembukaan akaun Simpan SSPN dan penambahan deposit tanpa perlu hadir ke kaunter. Usaha ini juga bagi menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pembukaan atau penambahan simpanan secara dalam talian adalah lebih cepat, mudah dan selamat dengan melayari www.lovesspn.com.

“Keutamaan saya ialah agar masyarakat di luar sana berpeluang menikmati pelbagai manfaat untuk tabungan pendidikan sekali gus menjadikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan isi rumah. Inilah Peluang Kejayaan Anda.”, katanya secara maya pada pelancaran BMS 2021.

Dalam pada itu, pelbagai program menarik boleh disertai ibu bapa dan anak-anak pada penganjuran kali ini.

Selain itu, PTPTN turut mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Jelajah Simpan SSPN 2021 melalui sumbangan zakat berjumlah lebih RM500,000 dengan kerjasama pusat Zakat Negeri dan agensi kerajaan yang memanfaatkan lebih 5,000 penerima golongan asnaf di bawah PTPTN Prihatin.


BMS 2021 | Masyarakat Malaysia disaran untuk menabung

Sementara itu, Simpan SSPN yang terdiri daripada Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus turut menawarkan pelbagai keistimewaan kepada rakyat Malaysia.

“Simpan SSPN Prime merupakan instrumen simpanan tanpa komitmen bulanan yang memberikan keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, perlindungan takaful secara percuma, dividen yang kompetitif, geran sepadan sehingga RM10,000 dan simpanan dijamin oleh kerajaan.

“Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej yang menarik dan mampu dimiliki. Pelbagai keistimewaan dan manfaat yang lebih menarik akan dinikmati oleh pendeposit antaranya perlindungan manfaat takaful sehingga RM1.2 juta dan perlindungan sehingga umur pendeposit 69 tahun selain menawarkan pelbagai manfaat sedia ada,” katanya.

Terdapat juga Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2021 yang menawarkan hadiah utama Gold Bar bernilai RM150,000 dan hadiah lain bernilai hampir RM320,000.

Tahun ini, PTPTN telah menyasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1.8 billion dengan 400,000 akaun baharu.

Untuk rekod, sejak 2004 sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 5.1 juta akaun Simpan SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM9.45 bilion.