Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menipu rakyat dan sentiasa melaksanakan janjinya.

Jelasnya, itulah keistimewaan BN yang memimpin negara dengan sentiasa memikirkan sesuatu yang baik untuk rakyat, sesuatu untuk dinilai dan dibandingkan dengan pembangkang.

"Kita mesti tahu membezakan antara kaca dengan permata, antara hak dengan batil.

"Dan sebagai sebuah kerajaan, BN tidak pernah tipu rakyat. Kita buat (pembangunan) untuk rakyat," katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Bandaraya Sungai Udang, Segambut, dekat sini, hari ini.

BN katanya sentiasa mendahulukan rakyat, menekankan konsep keterangkuman supaya tiada yang tercicir daripada mendapat manfaat serta bersifat realistik, faham cara mengurus tadbir negara dengan memberi kesan untuk mencapai objektif tersebut.

Kata Perdana Menteri, falsafah dan prinsip tersebut menjadi pegangan yang akan terus menjadi amalan BN sebagai kerajaan, tidak seperti pembangkang yang selalu omong kosong menabur janji tetapi tidak mampu menunaikannya.

Beliau mengambil contoh tindakan pembangkang yang sebelum ini cuba menggagalkan projek pembangunan semula flat di Kampung Kerinchi yang kini menjadi Residensi Kerinchi.

“Saya ingat lagi projek perumahan Kerinchi yang saya lawati baru-baru ini, di mana 34 orang yang menentang kalah di mahkamah dan hari ini terpaksa gigit jari sebab orang lain dapat kondominium dengan harga RM400,000 hingga RM500,000 seunit, mereka ini hampa kerana tidak dapat.

“Semuanya ini sebab dengar cakap pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Najib memaklumkan bahawa Pangsapuri Bandaraya di Sungai Udang Segambut oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini merupakan satu projek perumahan unik yang pertama kali diwujudkan dengan konsep seumpamanya.

Perumahan tersebut bukan untuk dijual, tetapi disewa kepada orang ramai dengan bayaran bulanan RM800 selama lima tahun.

Daripada jumlah sewa RM800 itu, RM300 akan diambil sebagai simpanan dan akan dipulangkan semula kepada penyewa selepas tamat tempoh sewaan untuk digunakan untuk membeli rumah baharu.

Projek Pangsapuri Bandaraya Sungai Udang Segambut terdiri daripada 1,251 unit apartment dalam dua blok setinggi 32 tingkat dan satu blok 34 tingkat, khas untuk membantu golongan berpendapatan isi rumah bawah RM10,000 sebulan.