KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam serangan yang telah membunuh lebih 100 nyawa dan mencederakan lebih 200 orang awam lain dalam tragedi pengeboman di bandar Kerman, Iran semalam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia membantah serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa.

Dalam masa sama, Anwar menggesa dalang di sebalik keganasan itu segera diheret ke muka pengadilan.

“Malaysia turut berdukacita dan bersolidariti. Malaysia juga menggesa agar dalang aksi ganas ini diheret ke muka pengadilan.

“Di tahun baharu ini Malaysia ingin mengajak dunia untuk ikut membantah budaya ganas dan rakus dan selamatkan kemanusiaan sejagat,” kata Anwar dalam hantaran di akaun media sosial beliau pada Khamis.

Kata Perdana Menteri, sudah hampir tiga bulan dunia menyaksikan pembantaian Israel ke atas mereka yang tidak berdosa di Palestin dan yang terbaharu di Lubnan dua hari yang lalu.

Anwar juga memberitahu, Malaysia mengutus takziah kepada negara sahabat Republik Islam Iran dan warganya.

Pada Rabu, sekurang-kurangnya 103 orang terbunuh, manakala 188 lagi cedera dalam kejadian letupan berkembar berhampiran kubur komander tentera yang dibunuh, Qasem Soleimanidi bandar Kerman, Iran.

Insiden itu disifatkan pegawai kerajaan Iran sebagai serangan pengganas.

Satu daripada dua letupan berlaku disebabkan oleh bom, lapor televisyen kerajaan, berlaku pada hari ulang tahun keempat kematian Qasem dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan mengancam untuk mempercepatkan ketegangan di rantau itu yang telah meningkat sejak permulaan Israel- Perang Hamas di Gaza.

"Letupan pertama berlaku dalam jarak 2,300 kaki (700 meter) dari kubur Soleimani, manakala yang kedua berlaku 0.6 batu (1 kilometer) dari kawasan tersebut semasa pengunjung melawat tapak kubur itu,” lapor agensi berita IRNA.

Qasem terbunuh dalam serangan udara AS yang diarahkan oleh bekas Presiden Donald Trump di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad empat tahun lalu.