TAIPING: Anggota bomba berjaya memujuk seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang dipercayai cuba mencederakan diri di dalam sebuah bilik di Taman Long Jaafar, di sini, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 1.45 pagi.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping yang tiba dilokasi pada 1.53 pagi mendapati seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga pesakit psikiatri cuba mencederakan diri menggunakan pisau di dalam bilik.

“Mangsa berjaya dipujuk dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ridwan Sudin tamat jam 2.54 pagi.


*Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.