Dengan harapan Muhammad Adib Mohd Kassim akan kembali sedar dan pulih seperti sediakala, lebih 800 anggota bomba di seluruh Kedah hari ini melakukan solat hajat dan bacaan surah Yasin.

Majlis itu berlangsung serentak di 19 Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) di seluruh negeri.

Kata Pemangku Pengarah Bomba Kedah, Mohd Zahar Abdullah, sebaik mengetahui perkembangan dari Institut Jantung Negara (IJN) yang memaklumkan fungsi paru-paru Muhammad Adib lemah dan keadaan beliau kritikal, pihaknya mengambil inisiatif melakukan solat hajat dan bacaan surah Yasin untuk kesejahteraan dan kesembuhan anggota bomba berusia 24 tahun itu.

BACA: Kesihatan Muhammad Adib semakin merosot - IJN

"Saya telah arahkan BBP Alor Setar bersama pegawai-pegawai kanan ibu pejabat supaya mengadakan majlis tersebut di surau BBP Alor Setar. Jadi kita dapat kumpulkan lebih kurang 50 orang dan anggota yang sama-sama telah mengadakan majlis solat hajat, doa selamat dan juga bacaan Yasin," katanya.


Sementara itu, pegawai serta anggota bomba turut melahirkan perasaan sedih terhadap tragedi yang menimpa Muhammad Adib.

"Saya mengharapkan PB (pegawai bomba) Muhammad Adib dapat segera sembuh seperti biasa dan menjalankan tugas seperti sediakala dan kita tahu ini satu ujian yang besar untuk PB Adib sendiri," kata Penguasa Kanan Bomba 1, Wan Mohd Hamzi Wan Mohd Zin.

"Harapan saya kepada PB Muhammad Adib agar cepat sembuh dan kepada keluarganya, harap bersabar. Kita hanya menunggu doa daripada semua anggota-anggota bomba yang berkhidmat di dalam Malaysia agar memberi harapan yang tinggi kepada Muhammad Adib supaya sembuh dengan cepat, InshaAllah," kata Penguasa Bomba, Muhamad Zaharul Asyraf Zaharin.

Muhammad Adib dimasukkan ke IJN akibat mengalami cedera parah selepas diserang susulan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman USJ25, Subang Jaya, pada 27 Nov lalu.