BSMM pertingkat kesiapsiagaan, sedia hadapi gelombang baharu banjir

Keutamaan BSMM ialah memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada komuniti terjejas, selain memastikan keselamatan sukarelawan sepanjang operasi.
KUALA LUMPUR: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) meneruskan usaha bantuan banjir di beberapa negeri ketika Monsun Timur Laut dijangka memasuki fasa baharu yang lebih mencabar dalam minggu-minggu akan datang.
Setiausaha Agung BSMM, Datuk Danial Iskandar, berkata pasukan mereka kekal berada dalam keadaan bersedia untuk bertindak balas di lokasi yang memerlukan, khususnya apabila risiko cuaca buruk semakin meningkat.
Beliau berkata keutamaan BSMM ialah memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada komuniti terjejas, selain memastikan keselamatan sukarelawan sepanjang operasi.
“Kami komited membantu keluarga pulih, bukan sahaja melalui bantuan segera, tetapi juga sokongan psikososial, rawatan perubatan dan panduan kesiapsiagaan bagi memperkukuh ketahanan komuniti,” katanya.
Katanya, setakat ini, lebih 150 kakitangan dan sukarelawan BSMM telah digerakkan, dengan lebih 1,500 kotak makanan dan 300 kit kebersihan diagihkan kepada kira-kira 1,800 keluarga.
"Perkhidmatan sokongan mental dan psikososial turut diberikan kepada lebih 1,200 individu, menjadikan keseluruhan bantuan BSMM setakat ini mencapai hampir 10,000 mangsa banjir di seluruh negara.
"Walaupun jumlah mangsa pemindahan menurun, BSMM kekal berwaspada terhadap potensi gelombang baharu banjir, termasuk kemungkinan hujan lebat berterusan dan limpahan sungai," katanya.
Beliau berkata, BSMM juga terus bekerjasama dengan NADMA, jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan serta NGO rakan strategik bagi memastikan koordinasi respons bencana yang cekap.
Katanya, bekalan bantuan kini ditempatkan lebih awal di gudang cawangan untuk memastikan penghantaran dapat dilakukan dengan pantas apabila situasi memerlukan, manakala penggerakan sukarelawan diteruskan secara berfasa.
"Bagi memastikan kesinambungan operasi kecemasan, BSMM memohon sokongan daripada organisasi korporat, badan komuniti dan orang ramai.
"Sumbangan kewangan atau barangan akan membantu menyediakan makanan, kit kebersihan, bekalan perubatan, perkhidmatan pertolongan cemas serta sokongan psikososial kepada mangsa banjir, selain memperkukuh kesiapsiagaan komuniti," katanya.
Beliau berkata, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM di +603 2143 8122 atau emel [email protected]. Perkembangan terkini turut dikongsi di media sosial @MalaysianRC.
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

