KOTA MARUDU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera selepas diserang sekumpulan anjing liar dalam kejadian di kawasan lapang Jalan Mampakad Laut, di Pitas pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, Muhamad Dhan Rezdey Ruddy, mengalami kecederaan di bahagian anggota badan akibat digigit haiwan berkenaan sebelum diselamatkan oleh sepasang suami isteri yang berada di lokasi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang pengadu berkaitan mangsa yang diserang sekumpulan anjing liar dan telah dirujuk ke Hospital Pitas.

Katanya, hasil siasatan mendapati pengadu bersama suami kebetulan lalu di lokasi kejadian dengan menaiki motosikal menuju ke Dataran Bengkoka.

"Pengadu telah melihat sekitar tujuh ekor anjing sedang menyalak serta berkerumun dan mengigit sesuatu.

"Pengadu kemudian menghampiri sebelum terlihat seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian serta berlumuran darah sedang digigit kumpulan anjing tersebut. Pengadu kemudian memanggil suaminya untuk menghalau kumpulan haiwan itu dan segera menyelamatkan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zairolnizal berkata, anjing yang menyerang kanak-kanak itu adalah anjing liar yang sering berkeliaran di kawasan tersebut dan Dataran Bengkoka.

"Ketika kejadian, ibu mangsa keluar untuk bekerja di kawasan berhampiran dengan berjalan kaki dan mangsa menyusul dari belakang tanpa pengetahuan ibunya serta neneknya.

"Ibu mangsa meninggalkan anaknya di rumah di bawah jagaan nenek dan jarak perjalanan rumah mangsa ke tempat kerja kira-kira 300 meter manakala jarak lokasi kejadian dari rumah iaitu 100 meter.

"Tempat kejadian adalah di kawasan lapang berhampiran kawasan pembuangan sampah dan timbang buah kelapa sawit, namun kejadian ini kali pertama berlaku," katanya.

Katanya lagi, pemeriksaan mendapati terdapat banyak kesan gigitan dan cakaran oleh haiwan berkenaan di seluruh anggota badan mangsa.

"Bagaimanapun, mangsa kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih dalam rawatan lanjut selain dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas.

"Kejadian ini juga telah dimaklumkan kepada Pegawai Daerah Pitas dan Majlis Daerah Pitas untuk tindakan selanjutnya," katanya. - Sinar Harian