KUALA LUMPUR:Persetujuan untuk memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas pendapatan bukan satu keputusan mudah.

Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican menjelaskan, ia dibuat untuk mengimbangkan antara keperluan segera jangka pendek dan jangka panjang selepas pencarum bersara kelak.

"Pengumuman i-Sinar merupakan antara yang baik oleh menteri semalam. Sebenarnya bukan mudah untuk kerajaan membuat keputusan berkenaan.

"Saya kembali untuk mengimbangkan antara keperluan segera jangka pendek bagi mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan dan jangka panjang untuk mereka mempunyai simpanan selepas bersara.

"Ini adalah pilihan yang sukar oleh kerajaan kerana saya rasa pada akhirnya, kita benar-benar perlu mencuba untuk memberi bantuan dan menampung mereka yang benar-benar mengalami masa sukar ini terutama mereka yang kehilangan pekerjaan atau menghadapi penurunan pendapatan yang besar untuk menarik sebahagian daripada akaun satu.

"Tetapi hujahnya adalah mereka perlu menyumbang kembali ke Akuan 1 selepas menyambung semula pekerjaan," katanya semasa Dialog Pasca Belanjawan melalui Zoom pada Jumaat.

BACA: i-Sinar: KWSP umum perincian awal minggu depan

BACA: 
Belanjawan 2021: Skim i-Sinar diperluaskan kepada semua ahli KWSP - Tengku Zafrul


Perbincangan tertumpu pada isu-isu utama, yang dibangkitkan oleh panel pakar terkenal dalam bidang masing-masing.

Antara panelnya adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh, Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank Investment Bank Bhd, Suhaimi Ilias, Naib Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA), Dr Jorah Ramlan dan Pengarah Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Firas Raad.

Pada Khamis, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pengeluaran tersebut akan memanfaat lapan juta pencarum berbanding dua juta sebelum ini.

Selain itu, Zafrul berkata pengeluaran turut dinaikkan daripada 9,000 ringgit kepada 10,000 ringgit, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini memaklumkan, pencarum yang memenuhi kriteria kelayakan bagi pengeluaran wang caruman menerusi program i-Sinar boleh mengemukakan permohonan bermula pertengahan bulan depan.

Perincian mengenai pengeluaran wang caruman itu akan diumumkan pada awal minggu hadapan.