Datuk Bung Mokhtar Radin hari ini meminta maaf berhubung kenyataan "Hidup Hitler" yang dibuat oleh beliau selepas kemenangan Jerman di dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2014.

“Saya dengan tidak sengaja mengatakan sesuatu yang telah menyakiti perasaan rakyat Jerman. Saya meminta maaf dengan ikhlas. Hidup Bung,” katanya di dalam laman Twitternya hari ini.





Namun demikian, hanya beberapa minit sebelum permohonan maaf itu dikeluarkan di laman Twitternya, Bung, yang digesa oleh pelbagal pihak termasuk pihak pembangkang untuk meletakkan jawatannya kerana kenyataan kontroversi itu, memberitahu Astro AWANI bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan.

“No way! (Tidak mungkin!). No way untuk saya letak jawatan. Kalau saya letak jawatan, adakah pembangkang akan menang?

“Saya sokong Jerman. Saya seronok bila lihat Brazil belasah Jerman seolah-olah Hitler lawan Yahudi.

“Jadi, suruh pembangkang kerja kuat-kuat untuk lawan saya di pilihan raya akan datang. No way saya letak jawatan,” katanya kepada Astro AWANI.

Bung juga telah memadamkan tweet asalnya yang mencetuskan kontroversi itu.

Beberapa ketika selepas Bung Mokhtar meminta maaf di laman Twitternya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kenyataan Bung tidak boleh diterima dan salah.

Najib turut berkata kenyataannya tidak mencerminkan perasaan rakyat Malaysia dan ini seharusnya merupakan masa untuk Jerman untuk meraikan kemenangannya.