MALAYSIA
Bunuh anggota polis, empat lelaki dihadapkan ke mahkamah

Empat penjenayah didakwa di Mahkamah Majistret di Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang cuba menangkap mereka pada 7 Ogos lalu. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Empat penjenayah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang cuba menangkap mereka pada 7 Ogos lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Muhamad Badry Muhamad Azami, 24, Mohamad Hafiz Khazli, 26, Badri Iman Abdul Nasir, 25, dan Mohd Saifuan Mohd Noor, 34, dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa membunuh anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK), Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.43 petang, 7 Ogos lalu, di hadapan sebuah rumah di Taman Golf, di sini.Berikutan itu, suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara atau maksimum 40 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula dan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi bagi proses sebutan semula.
Pada 7 Ogos lalu, Astro AWANI melaporkan anggota polis, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, meninggal dunia akibat dirempuh dan digilis kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus dinaiki empat penjenayah dalam kejadian di Taman Golf.
Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada anggota badan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami