TAIPING: Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada Isnin atas tuduhan membunuh seorang penjual pisang goreng, dua minggu lalu.

Tertuduh, AS Jonh Peter, 49, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret R. Prabakaran.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, buruh binaan itu didakwa membunuh Chor Kuok Kuan, 59, di kaki lima gerai makanan Pasar Pokok Assam, antara jam 3.30 petang hingga 4.15 petang, 12 September lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun dan sekiranya dikenakan hukuman penjara hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Khoo Thean Heng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang lelaki bertindak memukul peniaga hingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Pokok Assam, selepas berang ditegur kerana menyentuh pisang goreng menggunakan tangan.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, mangsa dikatakan telah bertengkar dengan suspek hingga peralatan di gerainya rosak.