PASIR MAS: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas di sini hari ini atas pertuduhan mencabul adik iparnya yang berusia tujuh tahun di dalam sebuah kereta pada bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 39 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual telah mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan olehnya di dalam sebuah kereta di tepi jalan Ayir Naga, Tanah Merah kira-kira pukul 10 hingga 12 malam pada 8 hingga 12 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana khuatir tertuduh mengganggu mangsa apabila mempunyai akses untuk bertemu kanak-kanak itu yang merupakan adik iparnya sepanjang tempoh prosiding perbicaraan.

Tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan dibenarkan kerana perlu menanggung seorang ibu yang merupakan orang kelainan upaya, lima orang anak dan isteri sedang mengandung.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan tarikh 14 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.